Legenda badminton negara dan dunia, Datuk Lee Chong Wei memuji peningkatan prestasi yang ditampilkan Lee Zii Jia dalam saingan Sukan Asia (Asian Games) 2022.

Dibelenggu masalah prestasi sejak setahun kebelakangan ini, Zii Jia mara sehingga ke suku akhir yang mana perjuangannya terhenti apabila tewas kepada H.S Prannoy dalam aksi tiga set.

Disebalik kekalahan tersebut, Chong Wei melihat terdapat perkara positif dalam aksi yang ditampilkan Zii Jia pada temasya ini terutamanya ketika beliau menundukkan Angus Ng Ka Long dan juara dunia, Kunlavut Vitidsarn.

Malah, pemenang tiga pingat perak berturut-turut Sukan Olimpik itu turut berpendapat perkembangan terkini Zii Jia tersebut akan membantunya untuk mendapatkan keyakinan terbaik beliau.

“Saya tengok corak permainan Zii Jia pada kali ini dia menunjukkan banyak peningkatan, permainannya nampak sudah berubah,” ujar Lee Chong Wei menurut sumber video wartawan sukan TV3, Syakirah Zulkifly.

“Dia bermain dengan lebih sabar, tak sama seperti dulu yang mana dia asyik mahu ‘angkat’ mata untuk menyerang.”

“Dia [kali ini] lebih bermain rali, sabar untuk satu-satu perlawanan. Ini merupakan satu permulaan yang baik buat Zii Jia.

“Diharapkan dia boleh lebih bagus dalam kejohanan akan datang, untuk mendapatkan semula keyakinan terbaiknya,” tambah Chong Wei lagi.

Difahamkan, Lee Zii Jia sudah terbang ke Eropah untuk beraksi dalam kejohanan Clash of Clans Arctic Open 2023 berstatus Super 500 di Vantaa, Finland serta Terbuka Denmark (Super 750).